Selasa, 13 Oktober 2009

KEDAI KEBAJIKAN

Lazimnya peniaga akan mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Malah menipu timbangan dan sukatan demi untuk mengaut keuntungan.

Namun pujian harus diberikan kepada pemilik restoran (En Md Satar) yang hanya mengenakan RM2.00 untuk sepinggan nasi berlauk. Kerja yang berkat akan ditambah rezeki oleh Allah SWT.

KEPALA BATAS 13 Okt. - Membuka kedai 24 jam sehari adalah perkara biasa di bandar namun jika kedai makanan dan minuman beroperasi 24 jam sehari di kampung, ia dilihat sebagai sesuatu yang agak luar biasa.

Namun tidak bagi Md. Satar Che Morad, 41, dari Penaga, Kepala Batas yang membuka kedainya di kawasan Pusat Pendaratan Ikan Lahar Endin di sini 24 jam sehari.

"Semua nelayan singgah makan di kedai ini, tidak kira masa, sebelum ke laut dan juga selepas balik dari menangkap ikan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dia berkata, pelbagai jenis makanan sentiasa disediakan untuk pelanggan sepanjang masa.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya membuka kedai untuk jualan roti canai, mi goreng dan tomyam sahaja tetapi sekarang beralih menyediakan nasi pula atas permintaan nelayan di situ.

Katanya, bukan mudah untuk mengendalikan perniagaan tersebut dan seramai tujuh pekerja diambil bertugas mengikut giliran.

Apa yang menarik di kedainya, pelanggan boleh meminta sepinggan nasi dengan seekor ikan kembung masak gulai dan seekor lagi goreng dengan bayaran RM2 sahaja.

"Kita turut menyediakan sambal dan ulam, ia begitu murah berbanding makanan seperti ini di tempat lain," katanya.

Pada waktu tertentu, kata Md. Satar, isterinya, Halimah Darus menyediakan masakan itu dan kebiasaannya lebih 10 kilogram ikan kembung habis dijual dalam sehari.

Di samping itu, katanya, untuk menerokai bidang perniagaan lebih jauh lagi, dia turut membuka pusat memancing udang galah bersebelahan kedai makanannya itu.

Setiap pemancing dikenakan bayaran RM12 sejam, RM24 dua jam dan RM30 bagi tempoh tiga jam.

Udang galah liar dimasukkan ke dalam kolam antara 6 hingga 10 kilogram yang diperolehi dari Bagan Serai, Perak, Sungai Muda dan Sungai Dua dari Pulau Pinang.

0 ulasan:

Selamat Tahun Baru 1431H/2010M